KOTA BHARU 27 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, umat Islam perlu bersyukur kerana boleh beribadat dalam suasana negara ini yang aman.
Beliau berkata, peluang seperti itu seharusnya digunakan oleh umat Islam terutamanya bagi golongan yang berada agar membantu mereka yang memerlukan menerusi pemberian zakat.
``Kita wajar bersyukur kerana boleh melakukan ibadat di masjid dalam keadaan yang aman,'' katanya berucap pada majlis bersama rakyat di Masjid Al-Taqwa, Taman Uda Murni, di sini petang ini.
Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan zakat kepada 700 orang miskin dan menunaikan solat Asar bersama-sama masyarakat di taman berkenaan.